Armand Azha dibenar bertanding Ketua Pemuda Umno

0
3

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang dipanggil Lembaga Disiplin parti hari ini dibenar bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Malah, Lembaga Disiplin juga tidak menghalang beliau mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Subang.

Menurutnya, keputusan itu dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin Umno ketika memberi penjelasan serta mengemukakan bukti pembelaan petang tadi.

Beliau telah menyerahkan borang pencalonan Ketua Bahagian hari ini manakala Ketua Pemuda Umno pula esok.

Dalam pada itu, Armand Azha menyifatkan pertuduhan dikenakan terhadapnya sebagai cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk menghalangnya daripada bertanding pada pemilihan kali ini.

Bagaimanapun Armand Azha tidak memperincikan dakwaan pelanggaran tatatertib membabitkannya.

“Saya dipanggil Lembaga Disiplin untuk membela diri berhubung beberapa pertuduhan tatatertib membabitkan pemilihan parti.

“Saya sebagai seorang pemimpin dan memegang konsep kepartian, saya sudah memberikan dokumen pembelaan kepada Lembaga Disiplin dan beberapa soalan ditanyakan sudah dijawab,” katanya pada sidang media hari ini.

Biarpun Lembaga Disiplin parti masih membuat penilaian berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, beliau masih boleh menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding pada pemilihan Umno kali ini.

“Saya bertanya juga kepada Lembaga Disiplin sama ada saya boleh terus menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno dan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Subang.

“Mereka tidak ada halangan untuk saya menyerahkan borang pencalonan kerana Lembaga Disiplin perlu melihat semua sudut,” katanya.

Terdahulu sekitar pukul 3 petang tadi, Armand Azha dilihat tiba di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn bagi berdepan dengan Lembaga Disiplin Umno. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here