SURUHANJAYA Pencegah Rasuah (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan kes projek Jana Wibawa masih dijalankan.
Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya tidak dapat mengulas sama ada Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan didakwa atau sebaliknya, lapor Malaysiakini.
“Siasatan terhadapnya (Muhyiddin) berjalan seperti biasa…Saya serahkan kepada peguam negara apabila siasatan diselesaikan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Azam bagaimanapun tidak menolak akan terdapat lagi pendakwaan berkaitan program Jana Wibawa, yang setakat ini telah menyaksikan dua individu dihadapkan ke mahkamah.
Beliau berkata, ada tiga atau empat lagi kertas siasatan berkaitan kes tersebut yang sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Ada beberapa lagi kertas siasatan sedang dijalankan, pegawai penyiasat sedang siapkan kertas siasatan berkenaan.
“Saya tidak menolak mana-mana pihak atau pemimpin jika terlibat menerima suapan untuk sesuatu perkara, maka akan ada siasatan,” jelas beliau.
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.
Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan, agensi itu memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.
Kelmarin, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang dituduh membabitkan projek Jana Wibawa, mendakwa partinya menjadi mangsa pendakwaan terpilih.
Mengulas berkenaan perkara itu, Azam menafikan dakwaan Wan Saiful dan menegaskan SPRM bertindak secara profesional selepas menerima tujuh aduan yang diterima.
“Kita bukan alat untuk mana-mana parti politik. Siasatan kita berdasarkan aduan dan maklumat, tiada pendakwaan terpilih dalam isu ini,” katanya lagi.
Wan Saiful, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa berjumlah RM232 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.
Turut didakwa adalah Timbalan Ketua Bersatu bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhamad turut dikenakan tiga pendakwaan kerana rasuah. – Malaysiapost

