Nilam Oshman
KES positif Covid-19 mencatat penurunan hari ini iaitu 732 kes positif direkodkan membabitkan 724 kes tempatan dan lapan kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan penularan tempatan, sebanyak 535 kes dicatatkan di Sabah termasuk 30 kes dari Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Penjara Kepayan, Kluster Tembok dan Penjara Reman.
Katanya, sehingga jam 12 tengah hari ini, Selangor turut mencatatkan pertambahan apabila merekodkan 116 kes baharu.
“Dari jumlah itu, 49 kes melibatkan kluster sedia dan 11 kes lagi daripada kluster baharu.
“Daripada tiga kluster baharu, satu kluster adalah berkaitan dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambah Dr Noor Hisham, selain Sabah, jumlah kes penularan Covid-19 di Kuala Lumpur adalah 26 kes, Pulau Pinang (12) dan masing-masing sembilan di Negeri Sembilan dan Labuan.
“Manakala, masing-masing tujuh di Kedah dan Perak, Putrajaya (6), Melaka (3) serta Kelantan dan Pahang masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, terdapat enam kes kematian dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kematian di negara ini sebanyak 199.
“Sehingga kini, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. -Malaysiapost

