Arahan BDR terkecuali bagi perkhidmatan penting, kritikal – Ismail Sabri

0
2

Nurul Huda Abhar

ARAHAN Bekerja Dari Rumah (BDR) yang telah diumumkan kerajaan hari ini, adalah terkecuali kepada pegawai awam yang berada di perkhidmatan penting dan diklasifikasikan kritikal bagi memastikan penyampaian perkhidmatan itu tidak terjejas dan berjalan lancar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah mengadakan perbincangan dengan persatuan industri dan meminta mereka memperjelaskan kepada ahli mengenai arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

“Bagi pekerja sektor lain yang dikategorikan informal sektor seperti peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai makan, restoran, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut SOP PKPB yang ditetapkan.

“Begitu juga, pekerja bagi perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas ekspres, LRT, teksi, e-hailing dan khidmat penghantaran makanan boleh bekerja seperti biasa,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, majikan perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB ini.

Katanya, pelaksanaan arahan itu sama seperti yang pernah dikuat kuasakan ketika pelaksanaan PKPB di seluruh negara pada Mei 2020,” ujarnya.

Terdahulu, hanya 30 peratus jumlah maksimum pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dibenarkan berada di pejabat bermula esok sehingga tamat tempoh PKPB.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dalam kenyataan berkata, peraturan itu terpakai untuk negeri yang berada dalam PKPB iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Selangor, Putrajaya serta Sabah. – Malaysiapost