Isu Khairuddin akan jadi ‘senjata politik’ PH

0
2

DATUK Seri Najib Razak percaya Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan isu Datuk
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai ‘senjata politik’.

Ia susulan Pejabat Peguam Negara hari ini yang memaklumkan tiada tindakan diambil terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi atas kesalahan melanggar kuarantin wajib Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mahu mendengar saranannya untuk terus
mendakwa Khairuddin atas kecuaiannya itu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau percaya Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan pengikutnya akan memainkan isu berkenaan dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai ‘No Further Action (NFA)’ .

“Sebab itu, saya nasihatkan kerajaan PN untuk terus mendakwa Khairuddin atas kecuaiannya tidak menjalani kuarantin wajib setelah pulang dari luar negara.

“Kerana saya tak larat lagi tengok Uncle Lim (Kit Siang) membuat puluhan posting untuk isu yang sama dan tidak mahu isu ini terus dijadikan modal propaganda untuk menyerang PAS dan PN/BN.

“Tapi apa saya boleh buat sebab kerajaan PN tak mahu dengar saranan ini dan sudi membuka jalan untuk rakyat yang tak puas hati dan puak PH untuk membahan mereka?,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Najib berkata, beliau juga sudah menjelaskan bahawa kemungkinan besar Khairuddin akan didapati tidak bersalah dari segi undang-undang jika kes itu dibicarakan dalam mahkamah.

“Saya berpendapat demikian kerana saya percaya dia tidak diberikan arahan kuarantin dan tidak disuruh untuk memakai gelang pink oleh pihak KKM atau imigresen.

“Khairuddin juga telah membayar denda kompaun RM1,000 untuk menyelesaikan kesalahan ini,” ujarnya.

Justeru, Najib berkata, dari segi undang-undang, beliau tidak boleh didakwa dua kali untuk kesalahan yang sama.

“Sebab itu, saya percaya kes dia akan dibuang hakim jika kes dia naik ke mahkamah.

“Yang salah pula mungkin pegawai KKM yang tidak mengeluarkan arahan kuarantin setelah dia pulang dari luar negara melainkan Khairuddin sendiri enggan menerima arahan kuarantin dari pegawai KKM.

“Dan jika didapati bersalah pun, hakim mungkin akan mengambil kira bahawa Khairuddin disahkan negatif Covid-19 dan dia secara sukarela suka menderma berbulan-bulan gaji dia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes Khairuddin tidak boleh disamakan dengan kes warga emas di Perak dan kes pencetus Kluster Sivagangga di Kedah.

“Sebab wanita dan pemilik restoran yang disahkan positif Covid tersebut telah menerima arahan kuarantin dan memakai gelang pink.

“Ia tak sama dengan Khairuddin yang negatif Covid dan tidak dikenakan arahan kuarantin atau disuruh pakai gelang pink.

“Pada saya, Kharuddin telah melakukan kesilapan moral yang dia mengaku sudah insaf dan menderma gaji dia. Dari segi undang-undang, ianya amat susah untuk mendapati dia bersalah.

“Tapi lebih elok lagi jika peguam negara mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjelaskan tindakan dia untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap Khairuddin.

“Ia seperti cara Tommy Thomas mengeluarkan penjelasan panjang lebar kenapa dia tarik balik tuduhan LTTE atau tidak mendakwa (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan (Datuk Seri) Azmin (Ali) ketika zaman gagalkrasi PH,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebelum ‘puak’ PH Plus memperlekehkan keputusan NFA ke atas Khairuddin, beliau ingin mengingatkan bahawa dua keputusan NFA dalam tempoh 22 bulan Gagalkrasi parti itu.

“Siasatan polis untuk skandal forex BNM RM33 bilion (bernilai RM100 bilion) yang dimulakan atas syor keputusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dihentikan, laporan polis ditarik balik dan kes diklasifikasikan sebagai NFA, biarpun syor itu adalah berstatus Diraja.

“Akibatnya, tiada seorang pernah diambil tindakan atau didapati bersalah walaupun dana negara yang bernilai hampir RM100 bilion lesap begitu sahaja tanpa satu habuk aset atau satu sen pernah didapati semula,” katanya.

Tambahnya, kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas Shafie Apdal untuk kes skandal Air Sabah RM1.5 bilion juga telah ditolak peguam negara PH Tommy dan kes diklasififasikan sebagai NFA dengan alasan bukti tak cukup (bukan tidak ada bukti).

“Akibatnya, kes-kes mahkamah di mana SPRM telah berjaya merampas ratusan juta ringgit wang tunai dan aset dari pegawai Air Sabah pada tahun 2017 terus diam sehingga kini,” katanya lagi. -Malaysiapost