
PAS Pahang menegaskan semua ajaran yang disebarkan bekas ahli jawatankuasa Muslimat PAS Kuantan, Profesor Dr Wan Maseri Wan Ahmad bukan silibus kepada program tarbiyyah Pas.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, ia kerana PAS telah mempunyai silibus sendiri yang telah disusun oleh Dewan Ulama dan Lajnah Tarbiyyah PAS.
Katanya, PAS tidak pernah mengiktiraf pendekatan ajaran beliau sebagai modul sistem tarbiyyah PAS.
“Selama ini beliau bergerak menyebarkan pendekatan ajarannya secara individu bukan melalui jawatannya di dalam PAS dan juga bukan sebagai program parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Wan Maseri telah meletakkan semua jawatannya di dalam PAS awal tahun 2019.
“Beliau dipilih sebagai calon PRU-14 adalah kerana kapasiti beliau sebagai ahli dan jawatankuasa Muslimat PAS Kuantan, ketika itu isu ajaran beliau belum tercetus,” katanya.
Semalam, tular satu surat yang didakwa telah dikeluarkan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad mengenai pengajaran dan pengajian dalam ajaran Wan Maseri meragukan dan menyalahi kaedah penyampaian ilmu dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mohd Yusof menyifatkan ajaran itu boleh membawa kesesatan dan kaedah pembelajaran ‘Universiti Antarabangsa Asmaul Husna’ adalah dilarang untuk diajar dan disebarkan kepada masyarakat di Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, PAS menghormati semua warta yang telah dikeluarkan oleh majlis atau institusi fatwa negeri-negeri yang berkaitan pendekatan ajaran tersebut.
Dalam pada itu, PAS Pahang turut mengucapkan terima kasih kepada Wan Maseri di atas jasa dan pengorbanan beliau selama ini yang membantu perjuangan PAS, termasuklah kesediaan beliau untuk menjadi calon PAS pada PRU-14. -Malaysiapost
