Anwar arah teruskan siasatan Pandora Papers

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dan memberi jaminan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan dengan cukup rapi ke atas isu Pandora Papers.

Beliau berkata, pihak berkenaan seharusnya tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit sebaliknya mengambil tindakan tegas selaras dengan bukti diperolehi.

“Arahan saya kepada badan ini untuk teruskan siasatan dan saya mohon semua pihak bersikap tegas, jangan lindungi… kalau ada bukti maka tindakan perlu diambil

“Kalau tindakan diambil tanpa fakta, bukti… itu boleh dicabar atas dasar penyalahgunaan kuasa atau kepentingan politik,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri mengenai isu Pandora Papers yang timbul semula minggu lalu serta sejauh manakah siasatan dan tindakan susulan oleh SPRM, BNM dan PDRM dilaksanakan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bekas Menteri Kewangan disiasat SPRM berhubung Pandora Papers yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit.

SPRM juga menyiasat kemungkinan ada hubung kait kewangan yang dimiliki, hasil daripada tender dan projek kerajaan. Setakat ini, tiada pembekuan aset dilakukan oleh SPRM.

Pandora Papers, antara lain menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here