AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini, berhubung kes projek Jana Wibawa.
Ketua Penerangan Bersatu itu dilaporkan ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes tersebut, malam tadi.
Difahamkan, turut ditahan dan akan didakwa pagi ini ialah ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.
Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, pula mengesahkan sudah dihubungi SPRM untuk membantu siasatan yang dijalankan agensi itu.
Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan. – Malaysiapost

