Nurul Huda Abhar
SEORANG kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) didapati positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.
Media Prima Berhad (MPB) dalam kenyataan memaklumkan anggota keluarga kakitangan terbabit merupakan seorang kontak rapat kepada rakan sekerjanya yang positif Covid-19.
MPB berkata, kakitangan telah menjalani ujian mandatori yang dikendali oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kakitangan STMB terbabit telah menjalani ujian Covid-19 setelah mengalami simptom-simptom jangkitan pada 19 Oktober dan telah didapati positif Covid-19 pada pagi ini.
“Kakitangan itu telah bekerja dari rumah (BDR) secara penggiliran dan tidak berada di premis-premis Media Prima sejak 10 Oktober.
“Media Prima sedang bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Kesihatan dan telah mengambil langkah-langkah pencegahan bagi meminimakan potensi jangkitan kepada kakitangan lain,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan para kakitangan dan sentiasa berusaha untuk memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) tersedia dan dipatuhi.
Katanya, sebagai respons kepada arahan kerajaan bahawa para kakitangan yang bukan kritikal perlu bekerja dari rumah bermula dari 22 Oktober, hanya kakitangan Media Prima yang terpilih sahaja dibenarkan untuk bekerja di premis-premis syarikat.
“Persiapan sedang dibuat untuk para kakitangan yang berkenaan menjalani ujian calitan (swab test) Covid-19.
“Operasi dan perniagaan Media Prima akan terus beroperasi seperti biasa dengan mematuhi SOP yang sedia ada dan mematuhi protokol untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua kakitangan terjamin,” katanya. – Malaysiapost

