Sila rujuk ‘hansard’, Halimah nafi perlekeh Menu Rahmah

0
3

AHLI Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali meminta pihak yang mengecamnya supaya merujuk Penyata Rasmi Harian (hansard) Parlimen sekali gus menafikan memperlekehkan Menu Rahmah sebelum ini.

Jelasnya, beliau tidak pernah menganggap Menu Rahmah berkualiti rendah dan mendedahkan rakyat terhadap kanser, autoimmune disease serta autisme.

Dr Halimah turut mencabar Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) supaya menyemak semula hansard bagi membuktikan beliau tidak pernah berkata demikian sehingga mencetuskan pertikaian, baru-baru ini.

“Apa yang disebutkan tidak betul, cuba tengok hansard, saya tidak ada sebut Menu Rahmah menyebabkan kanser, cuba tengok hansard. Saya tidak cakap, semak betul-betul, dengar dengan hati yang bersih.

“Jangan sampai terdesak, itu yang saya katakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh seketika selepas Sany menggesa Halimah menarik semula kenyataannya sebelum ini.

Sany menganggap kata-kata Ahli Parlimen Kapar itu sebagai fitnah yang perlu diperbetulkan.

Keadaan bertambah hangat apabila Mohd Misbahul Munir Masduki (PN – Parit Buntar) masuk campur dan bertikam lidah dengan Sany seketika untuk mempertahan Dr Halimah.

Kekecohan itu berlaku ketika sesi perbahasan Datuk Azman Nasruddin (PN – Padang Serai)

Terdahulu, Azman dalam ucapannya berkata, inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenal Menu Rahmah tidak membantu rakyat sepenuhnya khususnya bagi yang berkeluarga besar.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan perlu mengambil satu mekanisme jangka panjang untuk mengawal harga barang keperluan bagi membantu rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup.

“Apa yang saya nak tekankan adalah, bagaimana mereka yang berkeluarga besar di luar sana yang mempunyai anak empat hingga lima orang adakah setiap kali makan perlu berbelanja RM60 hingga RM80 sehari (makan di restoran untuk Menu Rahmah)?

“Sudah tentu yang berkeluarga begini perlu membeli barang keperluan basah untuk dimasak bagi menyediakan makanan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here