PH Pulau Pinang dapat lampu hijau berunding dengan BN

0
3

PAKATAN Harapan (PH) Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan Barisan Nasional (BN) negeri itu bagi membincangkan mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, pertemuan itu akan diadakan sebaik sahaja mesyuarat PH negeri selesai diadakan.

Beliau berkata, mesyuarat dengan BN kini boleh diadakan secara rasmi selepas PH Pusat mengeluarkan arahan supaya rundingan dengan BN bagi berdepan PRN itu diadakan.

Katanya, mesyuarat PH negeri sebelum ini ada membincangkan mengenai rundingan dengan BN, namun tiada sebarang langkah lanjut diambil memandangkan belum mendapat arahan PH Pusat ketika itu.

“Jadi sekarang sudah ada arahan rasmi, maka dalam mesyuarat PH negeri akan datang, kita akan lihat bagaimana perbincangan dengan BN itu boleh dilakukan,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, beliau sudah menerima surat jemputan daripada Menteri Besar Selangor untuk menghadiri mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin negeri yang bakal mengadakan PRN pada Khamis ini.

Jelasnya, mesyuarat itu mungkin akan membincangkan penyelarasan tarikh-tarikh penting di setiap negeri seperti pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan harapan PRN dapat diadakan serentak di negeri terlibat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here