Dewan Rakyat ucap takziah kepada keluarga anggota komando yang lemas

0
3
dewan rakyat

MENTERI Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan takziah kepada keluarga anggota komando Lans Koperal Edrin Baitim yang mayatnya ditemui di Tanjung Sepat, Selangor, semalam selepas 12 hari dilaporkan hilang ketika menjalani latihan selaman di Pulau Undan, Melaka pada 7 Februari lalu.

Beliau menyampaikan ucapan takziah itu pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Sebelum saya menjawab soalan, saya mohon izin kalau boleh semua Ahli Parlimen untuk kita menyatakan dukacita dan takziah kepada seorang anggota komando mendiang Lans Koperal Edrin Baitim.

“Mayatnya telah dijumpai semalam selepas lebih seminggu hilang semasa menjalani latihan menyelam laut dalam.

“Mayatnya ditemui di tanjung Sepat, Selangor…hanyut begitu jauh daripada tempat latihan menyelam di Melaka. Jadi kita sama-sama menyatakan dukacita kita dan rasa takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Terdahulu, beliau dalam satu hantaran di Facebook, menyatakan kehilangan mendiang bukan sahaja amat dirasai oleh keluarga tetapi seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ia suatu kehilangan yang besar buat negara.

“Semoga keluarga mendiang bersabar dan tabah menghadapi suasana sedih ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terbabit dalam operasi mencari mangsa.

Pasukan SAR yang terlibat adalah Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak lain yang terlibat sama.

Pada 7 Februari lalu, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang juga anggota komando Grup Gerak Khas (GGK), dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa dikatakan hilang ketika latihan eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang, Melaka.

Mayatnya ditemukan terdampar di pantai bakau Tanjung Sepat, Selangor, oleh orang awam pada jam 10.15 pagi semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here