OIC perlu manfaatkan sistem kewangan Islam – Zambry

0
3

MALAYSIA menyarankan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan dalam membantu negara-negara Islam yang baru keluar daripada kancah peperangan dan konflik dalaman dengan usaha pembangunan semula dan pemulihan negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata perkara itu antara yang dibincangkannya dalam pertemuan bersama Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha di Riyadh, Arab Saudi, semalam.

“Pelbagai isu telah kami bincangkan terutamanya isu kemaslahatan negara-negara anggota OIC. Saya menyatakan pentingnya OIC bersatu dan membawa suara Ummah kepada dunia.

“Saya juga telah mengenengahkan peranan OIC dalam membantu negara-negara Islam yang baru keluar daripada kancah peperangan dan konflik dalaman dengan usaha pembangunan semula dan pemulihan negara-negara mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, bagi mencapai tujuan itu, Malaysia telah mencadangkan agar OIC memanfaatkan sistem kewangan Islam, seperti zakat dan wakaf, untuk mobilisasi sosial selain mempertingkatkan keupayaan ekonomi negara berkenaan dalam tempoh pasca perang.

“Kami turut berbincang secara mendalam mengenai usaha ASEAN untuk menangani isu pelarian Muslim Rohingya.

“Dalam hal ini, sokongan OIC adalah sangat penting bagi mencari penyelesaian yang holistik dan mampan untuk kemakmuran sejagat,” katanya yang kini dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula semalam hingga Khamis ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here