Gangguan air: 1,208 kawasan terima bekalan

0
2

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 94 peratus daripada 1,292 kawasan terjejas sudah menerima bekalan air.

Air Selangor berkata, sehingga jam 3 petang tadi, sejumlah 1,208 kawasan terlibat telah menerima bekalan sepenuhnya.

“Justeru, sebanyak 84 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di wilayah terjejas,” katanya.

Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah 99 peratus kawasan di Petaling, masing-masing 83 peratus di Klang dan Gombak serta Kuala Langat (75 peratus) dan Kuala Selangor (99.6 peratus).

Manakala, Wilayah Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya.

Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa di Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Kelmarin, dilaporkan lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Gangguan air tidak berjadual itu membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat. -Malaysiapost