BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan kembali sebagai penyampai radio Hot FM dalam segmen Bekpes Hot pagi esok, dengan membawakan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Khairy menerusi satu hantaran di InstaStory miliknya memaklumkan akan membincangkan mengenai topik hangat iaitu pengeluaran kali ketiga simpanan KWSP.
Menerusi hantaran tersebut, bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut bertanya pendapat orang ramai sama ada pengeluaran kali ketiga tersebut wajar atau tidak dibenarkan.
“Esok di Hot FM kita akan bincang topik hangat pengeluaran khas kali ketiga simpanan KWSP. Wajar ke tidak ia dibenarkan?” tulisnya.
Undian yang dikongsikan Khairy di Instagramnya menunjukkan rata-rata netizen berpendapat pengeluaran semula itu wajar dibenarkan kerajaan.
Setakat tengah hari ini sebanyak 59 peratus bersetuju manakala 41 peratus tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan tidak membenarkan wang simpanan KWSP dikeluarkan lagi bagi menjamin masa depan persaraan pencarum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan sedang mencari mekanisme lain tanpa memberi impak terhadap pencarum selepas bersara nanti. – Malaysiapost

