TAN Sri Shahrizat Abdul Jalil sah bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti Mac depan.
Shahrizat menghantar borang pencalonan dan telah diterima urusetia pemilihan pada jam 11.20 pagi oleh wakil beliau.
Borang berkenaan diserahkan oleh wakil calon, Suhana Zam.
Penyerahan borang itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung pembabitan beliau dalam arena politik negara selepas menyepi sejak lima tahun lalu.

Dengan pengesahan pencalonan tersebut, Shahrizat dijangka bertembung dengan penyandang jawatan Ketua Wanita Umno iaitu Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Pemilihan bagi jawatan sayap Umno, termasuk Wanita, akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Shahrizat yang memegang jawatan itu sejak 2009 mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya itu pada pemilihan parti 2018 kerana ingin memberi peluang kepada muka baharu selain mahu melihat pembaharuan dalam parti.
Sebelum ini, seramai 147 Bahagian Wanita Umno dikatakan menyatakan sokongan supaya Shahrizat kembali mengetuai kepimpinan sayap berkenaan.
Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah mendedahkan sebahagian besar mereka telah mengadakan pertemuan dengan Shahrizat.
Hasrat itu mengambil kira sayap Wanita Umno yang dikatakan sudah semakin ‘lemah dan lesu’. – Malaysiapost

