BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak layak untuk mendapat pampasan daripada kerajaan.
“Saya mempunyai sebab untuk mengetahui sebabnya kerana saya tidak fikir dia (Apandi) layak mendapat pampasan sama sekali,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook, hari ini.
Dr Mahathir berkata, beliau tidak pasti mengapa kerajaan terutamanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman bertindak merahsiakan tuntutan pampasan daripada Apandi.
“Saya keliru dengan keputusan Menteri Azalina Othman untuk merahsiakan penyelesaian tuntutan Apandi Ali untuk pampasan atas pemecatan beliau.
“Apandi, bekas AG Kerajaan Najib Razak, membuat tuntutannya secara terbuka. Malah beliau menamakan jumlah itu sebanyak RM2,233,599.36,” katanya.
Sebelum ini, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan terma penyelesaian saman sivil terhadap Dr Mahathir oleh Mohamed Apandi berhubung pemecatannya dikelaskan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.
Menurut Azalina, Mohamed Apandi dan Jabatan Peguam Negara bersetuju terma penyelesaian dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada umum.
Azalina menjelaskan kes sivil itu telah diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.
Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.
Pada 13 Oktober 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Mohamed Apandi antara lain memohon perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu pada 2018 sebagai tidak sah. – Malaysiapost

