MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju membatalkan keputusan memecat Datuk Lokman Noor Adam daripada parti itu pada 7 Februari 2020.
Menerusi hantaran di Facebook, Lokman memaklumkan beliau menerima berita positif daripada mesyuarat MKT Umno yang diadakan malam ini.
Lokman ketika dipecat merupakan Ahli MKT Umno.
“Alhamdulillah, baru terima panggilan daripada Dato Seri Utama Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno yang memaklumkan bahawa MKT Umno malam ini telah membatalkan pemecatan saya dan kini saya kembali sebagai Ahli MKT Umno,” katanya.
Untuk info, selepas pemecatan beliau itu, Lokman telah beberapa kali merayu kepada Umno untuk menerimanya semula.
Akhirnya, pada 30 September lalu, Lokman diterima kembali menyertai Umno semula sebagai ahli biasa.
Namun dengan keputusan pembatalan pemecatan itu malam ini, hak Lokman untuk bertanding pada pemilihan Umno tahun ini dikembalikan kepadanya.
“Terima kasih Presiden, Timbalan Presiden, Ahli MKT dan semua yang mendoakan saya.
“Dengan pembatalan ini, hak saya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini telah dikembalikan,” katanya. -Malaysiapost

