Nurulhidayah tanding 2 jawatan dalam Umno

0
3

ANAK sulung Presiden Umno, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menawarkan diri bertanding dua jawatan dalam pemilihan Umno akan datang.

Nurulhidayah menghantar borang pencalonan beliau untuk bertanding jawatan Exco Wanita Umno Malaysia dan Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Menurutnya, beliau lebih selesa memilih untuk bertanding di peringkat Exco terlebih dulu kerana sebagai orang baharu dalam parti perlu pandai membawa diri.

“Ini bukan parti bapa saya. Bila saya sertai Umno, saya perlu masuk secara berperingkat, berhemah dan bukan guna pengaruh bapa,” katanya selepas menghantar borang pencalonan hari ini.

Ditanya tidak bertanding di peringkat Puteri sejak awal pembabitan dalam Umno, Nurulhidayah berkata lebih selesa dengan tugas dan peranan Wanita Umno dalam parti.

“Setiap cabang dalam Umno ada tugas tersendiri. Puteri bertugas untuk menarik minat orang muda kepada Umno manakala tugas Wanita lebih matang selain berperanan untuk mengukuhkan lagi parti,” katanya.

Mengenai dakwaan menyertai Umno kerana pengaruh bapanya, Nurulhidayah berjanji membuktikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu tidak benar.

“Saya akan buktikan mereka salah. Saya akan bekerja keras untuk parti. (Sebagai usahawan) saya tidak ada projek kerajaan, dan jika terpilih sebagai Exco atau Ketua Wanita Bahagian sekalipun, saya tidak ada gaji daripada Umno,” katanya.

Menurutnya, beliau mahu menggunakan kepakaran dalam industri media dan media sosial untuk pembaharuan Wanita dalam parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here