Utamakan pesakit bukan pakaian – Dr Zaliha

0
3

PENGAMAL perubatan perlu mengutamakan tugas merawat pesakit tanpa mengira kaum, bangsa atau kod etika berpakaian, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau menegaskan pengamal perubatan perlu menjaga etika mereka setelah mengangkat sumpah termasuk kesediaan membantu pesakit sebaik mungkin.

“Saya ingin menegaskan, secara prinsipnya setiap pesakit wajar diberi keutamaan rawatan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun kod etika pakaian.

“Setiap pengamal perubatan perlu menjaga etika mereka setelah mengangkat sumpah. ‘Hippocratic Oath’ yang diikrar oleh para doktor dan pengamal perubatan termasuk kesediaan membantu pesakit sebaik mungkin,” katanya menerusi Facebook.

Beliau mengulas laporan seorang wanita berusia 21 tahun mendakwa dinafikan rawatan di Hospital Kampar kerana berseluar pendek.

Sementara itu, Pengarah Hospital Kampar, Dr Khairul Azha Azam menjelaskan tidak pernah mengeluarkan arahan melarang merawat pesakit yang tidak mematuhi etika berpakaian.

Menurutnya, setiap pesakit yang datang ke hospital itu untuk menerima sebarang rawatan, diterima dalam apa juga keadaan terutamanya sewaktu kecemasan.

Susulan insiden tersebut, Dr Khairul Azha berkata, pihaknya telah menegur pegawai terbabit supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Katanya, hebahan telah diberikan kepada semua kakitangan, supaya menerima pesakit tanpa mengira isu pakaian atau ada sebarang diskriminasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here