BEKAS Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengesahkan sudah menerima surat pemecatannya daripada Umno yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno bagaimanapun mengulangi pendiriannya untuk tidak akan merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung perkara itu.
“Tidak. Saya tak akan muncul (buat rayuan) sebab saya melihat cara dipecat pun tak betul. Sebenarnya, saya tak terima pemecatan saya sebab ia tidak dibuat mengikut proses yang betul.
“Tidak ada surat tunjuk sebab tak pernah dipanggil ke lembaga disiplin untuk beri keterangan dan untuk membela diri saya. Dalam mana-mana organisasi ia adalah perkara biasa.
“Natural justice’ (prosedur biasa) telah dinafikan terhadap diri saya. Di mata Umno saya telah pun dipecat tapi bagi saya tidak, kerana ia tidak mengamalkan natural justice. Saya rasa ini bukan keputusan yang saya iktiraf,” katanya.
Menurutnya, dipecat tanpa sebarang peluang untuk membela diri adalah tidak betul.
Mengulas mengenai pelawaan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menawarkannya bertanding atas tiket parti gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), KJ berterima kasih terhadap tawaran ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Peja (Faizal), sahabat baik saya. Dah tentu mana-mana tawaran yang serius seperti yang disebut oleh Peja mesti saya pertimbangkan.
“Ini bukan satu-satunya yang saya terima. Untuk berlaku adil dah tentu saya pertimbangkan. Tapi cuma kesesuaian masa sahaja kerana saya ada banyak benda nak dilakukan.
“Saya sibuk dengan macam-macam inisiatif baru yang saya sedang buat. Jadi saya kena fikir sama ada nak masuk semula politik serta merta atau ambil masa sedikit,” katanya. – Malaysiapost

