TMJ tidak berminat jadi pengurus Harimau Malaya

0
3

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berminat untuk menjadi pengurus pasukan kebangsaan.

Perkara itu diberitahu Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), DATUK Hamidin Mohd Amin yang memaklumkan Tunku Ismail berhasrat untuk membantu pasukan kebangsaan dalam menyediakan beberapa kelengkapan latihan buat skuad Harimau Malaya.

“Pertama, beliau (TMJ) jumpa saya sebab nak tahu mengenai kemenangan saya (sebagai Ahli Majlis FIFA) di Bahrain dan beliau ucapkan tahniah.

“Kedua, saya nak jelaskan beliau tak berminat nak memegang apa-apa jawatan (dalam skuad kebangsaan), sama ada pengurus pasukan atau apa sahaja.

“Tetapi bermula dari sekarang beliau nak usahakan untuk membantu pasukan kebangsaan, apa yang boleh beliau buat terutama untuk persiapan ke Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.

“Beliau kata nak sumbangkan beberapa kelengkapan gimnasium lagi dan meminta Pan Gon senaraikan barang. Kemudian beliau kata, Stadium Nasional nak kena buat (naik taraf) tahun ini, jadi beliau mempelawa untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim.

“Pan Gon pun tiada masalah dengan perkara itu dan dia pun sukakan padang di Stadium Sultan Ibrahim selain fasiliti sains sukan yang ada dekat sana,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang malah terdapat beberapa pihak menganggap TMJ sebagai individu yang layak menjadi pengurus pasukan skuad Harimau Malaya terutama untuk menghadapi Piala Asia 2023.

Sementara itu, Hamidin berharap semua kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) boleh membantu untuk bersama-sama menaikkan pasukan kebangsaan ke tahap lebih tinggi.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini, semua kelab diharap dapat membantu pasukan Malaysia, bukan hanya TMJ sahaja. Kita banyak kejohanan di ASEAN, Asia dan juga usaha untuk ke Piala Dunia, jadi semua pihak kena bantu selain kerajaan yang memang membantu kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here