LELAKI dipercayai pernah menjadi atlet badminton negara yang membuat kenyataan menyentuh isu perkauman dan umat Islam, merupakan bekas pemain pelapis percubaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, individu itu adalah pemain pelapis percubaan BAM pada sembilan tahun lalu, dan kini tidak menetap di Malaysia.
“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.
“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Hannah dalam hantaran itu juga mengulangi pendiriannya bahawa sukan perlu bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.
Katanya, semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing.
Terdahulu, tular sebuah video seorang lelaki dikatakan bekas pemain badminton negara yang membuat satu kenyataan berbentuk penghinaan ke atas agama Islam.
Bekas pemain terbabit mengatakan punca pengurusan BAM kurang baik adalah kerana diuruskan orang Melayu.
Ujarnya, orang-orang Melayu tidak menguruskannya dengan sempurna lebih-lebih lagi kerap meninggalkan latihan ataupun pengurusan tiap kali waktu solat. – Malaysiapost

