BARISAN Nasional (BN) mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pendirian itu sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang telah pun membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Menurutnya, satu Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya.
“Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan Sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zambry menegaskan, BN Sabah dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan dapat direalisasikan sekaligus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.
“BN Malaysia menamakan Datuk Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah untuk mewakili Umno dan BN Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, Umno dan BN Sabah secara rasmi membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan negeri selepas hilang kepercayaan terhadap Hajiji.
Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Hajiji telah melanggar perjanjian persefahaman yang dibentuk di bawah kerajaan negeri Sabah.
Namun, Hajiji berjaya mengekalkan kerajaan negeri yang diterajuinya itu selepas memperolehi sokongan majoriti daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah termasuk lima daripada BN. -Malaysiapost

