PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di beberapa lokasi di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye, semalam berjaya menemui beberapa mangsa.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dalam hantaran terbaharu di laman Facebook rasminya, hari ini, memaklumkan Pasuakn MAS-01, NADMA itu berjaya menemui dan mengeluarkan sembilan mangsa di Nurdagi, Gaziantep.

“Semalam Pasukan MAS -01 SMART, NADMA diaturgerak ke kawasan sebuah apartmen enam tingkat yang runtuh di Nurdagi, Gaziantep.
“Dua mangsa perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan menggunakan peralatan khas pasukan SMART. Mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia,” menurut hantaran NADMA.

Terdahulu dalam satu lagi hantaran, pasukan terbabit dilaporkan memulakan tugas dengan membuat peninjauan bersama Disaster and Emergency Management Authority (AFAD) dan Local Emergency Management Authority (LEMA) di beberapa lokasi, semalam.
“Operasi dimulakan di 920 Nula, Sk. Nurdagi, Gaziantep dimana sembilan mayat telah berjaya dikeluarkan dengan kaedah memotong dan memecah menggunakan peralatan khas serta bantuan anjing pengesan

“Mangsa-mangsa yang dikenal pasti adalah masing-masing seorang bayi perempuan, kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki dan lima wanita dewasa serta dua lelaki dewasa.
“Operasi dilaporkan adalah amat rumit dan berbahaya memandangkan struktur tidak stabil. Salam takziah,” katanya.
Pasukan MAS-01 SMART, sebelum itu turut menemui lima mangsa di runtuhan bangunan tujuh tingkat di Nurdagi, Gaziantep.

“Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat. Mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia,” katanya.
Malaysia menghantar dua pasukan dalam misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye dengan pasukan pertama berlepas ke negara berkenaan pada Isnin lalu, manakala pasukan kedua pula berlepas pada Khamis lalu.

Pada jam 4.17 pagi waktu tempatan Isnin lalu, selatan Turki digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud berpusat di daerah Pazarcik.
Gegaran menyebabkan runtuhan bangunan di wilayah beberapa wilayah termasuk Diyarbakir dan Gaziantep yang sehingga kini dilaporkan telah mengorbankan lebih 20,000 nyawa. – Malaysiapost

