MUDA persoal alasan tak dijemput ke mesyuarat sekretariat

0
3

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mempersoalkan alasan tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang pertama, Selasa lalu.

Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi berkata, parti itu tidak faham maksud hanya ‘pengasas parti’ sahaja dijermput hadir mesyuarat tersebut sedangkan MUDA adalah sebahagian parti yang menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, MUDA adalah antara pengasas dalam membentuk dan menyokong “kerajaan perpaduan” sekarang.

“Saya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan pengasas parti.

“Walaupun kami tidak tandatangani (perjanjian kerajaan perpaduan), kami adalah sebahagian pengasas kerajaan ini, bukan?

“Tanpa kami, kerajaan tidak akan jadi seperti hari ini,” kata Amir memetik Malaysiakini, hari ini.

Amir berkata, MUDA mengharapkan komunikasi lebih baik daripada kerajaan apabila mahu mengadakan mesyuarat rasmi pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, semua pihak mempunyai peranan untuk dimainkan dan perlu menjawab kepada ahli dan penyokong masing-masing.

“Sama ada parti itu hanya mempunyai satu, tiga atau empat kerusi, kita semua membentuk kerajaan.

“Apa salahnya memaklumkan kami tentang sebarang mesyuarat atau keputusan yang dibuat?

“Ia sungguh mudah! Mereka hanya boleh maklumkan kami secara tidak rasmi melalui mesej teks. Mari kita bekerjasama,” katanya.

Semalam, Amir menerusi Twitter meluahkan kekecewaannya selepas MUDA diketepikan dalam mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan, MUDA tidak menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat itu dan parti itu tidak dimaklumkan mengenainya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli turut menjelaskan MUDa tidak dijemput ke mesyuarat itu kerana ia hanya melibatkan parti-parti yang memeterai perjanjian pakatan Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here