SEMUA parti politik perlu disiasat dengan adil sekiranya mahu budaya politik wang dihapuskan di negara ini, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Jika kita mahu melihat politik wang dihapuskan dan itulah matlamat kita, semua parti perlu disiasat dengan adil,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Terdahulu, Wan Saiful membayangkan wujud dakwaan terpilih berhubung pembekuan akaun parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mempersoalkan, sekiranya siasatan itu adil, mengapa parti-parti lain yang mempunyai rekod ‘kurang bersih’ tidak disiasat.
“Jika kita mahu melihat politik wang dihapuskan dan itulah matlamat kita, semua parti perlu disiasat dengan adil.
“Jadi apa yang berlaku sekarang seolah-olah ada penyiasatan terpilih kepada Bersatu. Yang masuk bertanding berbelas-belas parti, siasatlah semuanya.
“Agak lucu bila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan tiada campur tangan politik daripada kerajaan,” katanya.
Menurut Wan Saiful, beberapa laporan telah difailkan oleh Bersatu kepada SPRM agar siasatan sama dapat dijalankan kepada parti-parti kerajaan.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai siasatan SPRM terhadap akaun Bersatu, Wan Saiful berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya berkenaan.
Sehingga kini katanya, SPRM telah memanggil beberapa pemimpin parti dan pegawai parti.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan akaun Bersatu dibekukan sehari selepas parti itu mendedahkan penyata akaunnya.
Azam berkata, akaun parti berkenaan dibekukan bagi memudahkan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. – Malaysiapost

