MASIH terlalu awal untuk menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.
Bendahari PAS itu berkata, ini kerana Perikatan Nasional (PN) Selangor mempunyai ramai calon yang turut layak diketengahkan sebagai calon Menteri Besar sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
“Ketika kita menunggu tarikh PRN, senario politik Selangor dikejutkan dengan spekulasi bahawa Azmin akan kembali menjadi Menteri Besar tetapi kali ini mewakili PN.
“Respon saya kepada berita tersebut adalah terlalu awal untuk menamakan calon Menteri Besar dan terdapat ramai calon-calon lain yang juga layak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun Iskandar berpandangan, mana-mana parti yang memasuki PRN perlu menamakan calon Menteri Besar dan barisan Exco untuk dinilai pengundi.
Beliau berkata, pengundi pada masa ini lebih cerdik dan bermaklumat kerana mereka tahu siapa yang akan menerajui pentadbiran jika sesebuah parti atau pakatan politik memenangi PRN.
“Majoriti pengundi bukan ahli parti, mereka tidak memiliki taat setia kepada mana-mana parti dan tidak ada masa untuk sebarang sentimen dalaman yang lazimnya menguasai orang-orang parti.
“(Jadi) mereka akan memilih calon-calon berdasarkan merit dan kadang-kala terdapat parti yang jahil terhadap faktor-yang mempengaruhi pengundi membuat pilihan,” katanya.
Justeru, beliau menasihati parti-parti politik supaya tidak bersikap ‘syok sendiri’ tetapi bertanya kepada rakyat tentang kemahuan mereka.
“Jangan pula kita merasakan calon-calon kita hebat berdasarkan kerja-kerja mereka di dalam parti tetapi ditertawakan oleh rakyat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, PN tidak menolak kemungkinan mencalonkan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya menang PRN akan datang.
Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi berkata, peluang sentiasa terbuka kepada Mohamed Azmin untuk kembali memimpin negeri itu.
Namun katanya, keputusan itu terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan PN dalam menentukan calon terbaik menjawat jawatan penting tersebut. – Malaysiapost

