Wanita culik kekasih suami ditahan polis

0
4

POLIS menahan seorang wanita dan ibu mentuanya yang dipercayai terbabit merancang penculikan seorang wanita warga asing yang juga teman wanita suaminya, di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kejadian penculikan berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika mangsa bersendirian di dalam kereta kekasihnya dengan pintu tidak berkunci dan enjin dalam keadaan hidup.

“Tiba-tiba kekasih mangsa dimaklumkan saksi keretanya dilarikan seorang lelaki yang tidak dikenali dengan mangsa berada di dalam kereta, menuju ke jalan besar menghala ke Gombak.

“Lelaki berusia 34 tahun itu segera menghubungi telefon bimbit mangsa tetapi mendapati ia sudah dimatikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian tampil membuat laporan polis pada jam 12.38 tengah malam, Sabtu lalu,

Katanya, siasatan polis berjaya mengesan kereta yang dilarikan itu ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Rawang dalam keadaan mangsa tiada di dalam kenderaan itu.

“Pada Ahad lalu antara jam 1.50 pagi hingga 5.30 pagi, polis berjaya menangkap dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 52 tahun dalam serbuan berasingan di Temerloh, Pahang dan Bandar Baru Sentul.

“Berpandukan maklumat ketiga-tiga suspek, mangsa yang berusia 26 tahun berjaya diselamatkan di Bandar Dataran Segar, Port Dickson, Negeri Sembilan pada jam 7.10 malam, hari sama,” katanya.

Menurutnya, polis turut menemui beberapa telefon bimbit dipercayai milik suspek dan mangsa dalam sebuah kereta yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa.

“Motif kejadian adalah berpunca daripada masalah rumahtangga. Perancang utama dalam kejadian ini adalah ibu dan isteri pengadu yang hendak memisahkan hubungan pengadu dengan mangsa.

“Ketika diselamatkan mangsa mengalami kecederaan ringan di hidung, muka, kepala serta badan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here