MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa memberi sokongan emosi dan psikososial kepada warga Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, yang kehilangan dua guru akibat kemalangan, baru-baru ini.
Beliau berkata, tragedi meragut nyawa pasangan suami isteri yang juga guru di sekolah tersebut adalah kehilangan besar buat Kementerian Pendidikan (KPM).
“Malam tadi saya hadir memberi sokongan emosi dan psikososial kepada warga Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dalam majlis bacaan Yasin dan tahlil.
“Kehilangan dua guru iaitu Cikgu Arbain Baharudin dan Cikgu Rosmayati Bakar@Lalar bukan sahaja kehilangan buat sekolah dan anak-anak murid mereka, tetapi juga kehilangan besar buat KPM.
“Kedua-dua guru ini pergi ketika sedang berkhidmat dan pastinya khidmat kebaktian mereka akan terus dikenang sehingga akhir hayat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Fadhlina berkata, KPM juga menyediakan program intervensi psikososial buat para guru dan pelajar SMAP Kajang dengan menghantar 16 kaunselor untuk memberikan sokongan dan dukungan emosi.
“Semoga roh kedua mereka dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri guru SMAP Kajang, maut selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat nahas di Kilometer 274 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2.
Tiga anak pasangan itu yang turut berada dalam kenderaan tersebut ketika kejadian dilaporkan mengalami cedera ringan.
Semasa kejadian kesemua mangsa yang menetap di Kajang dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kampung Gelugor, Kerteh.
Sebelum itu mereka sempat menghantar salah seorang anak lelaki mereka ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, Pahang. – Malaysiapost

