NGO mahu ketulenan surat sokongan Umno disiasat

0
3

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) didesak untuk menyiasat ketulenan surat sokongan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar di media sosial.

Setiausaha Armada Malaiyu Malaysia, Nazri Che Arr, berkata satu laporan polis dibuat pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Selain itu, beliau berkata, laporan itu dibuat bagi mendesak siasatan dijalankan demi memelihara nama baik Yang di-Pertuan Agong.

“Kami mendesak polis menyiasat ketulenan surat tersebut dan motif penyebarannya demi memelihara institusi Yang di-Pertuan Agong daripada dipersendakan dan dikelirukan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

“Laporan polis dibuat bagi menuntut pihak polis menyiasat ketulenan atau keaslian surat tersebut yang dinafikan oleh pihak Umno dan kesan-kesan kepada umum sekiranya kesahihan surat itu dipertikaikan,” katanya.

Beliau juga berkata, tindakan itu sekali gus bagi menjaga mempertahankan kedaulatan institusi Raja khususnya Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa hari lalu, tersebar satu surat yang menyatakan sokongan Umno yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak kepada Presiden PKR untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Umno menafikan mengeluarkan surat surat berkenaan dan menyifatkannya sebagai tindakan berniat jahat. -Malaysiapost