Luqman serta kelab Iceland secara pinjaman

0
3

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin hari ini diumumkan sebagai pemain baharu kelab Iceland, Njardvik FC.

Luqman, 20, diperkenalkan sebagai pemain kelab dalam liga kedua Iceland itu menerusi satu video yang dimuatnaik di Facebook.

Dalam video tersebut, Luqman mengenakan jersi pasukan baharunya berlatar belakang pemandangan salji.

Njardvik membawa Luqman ke negara dengan popularity kira-kira 370,000 itu secara pinjaman semusim daripada kelab Belgium, KV Kortrijk.

“Luqman Hakim sertai Njardvik,” umum kelab tersebut.

Menurut Njardvik, ia telah mencapai kesepakatan dengan KV Kortrijk untuk mendapatkan khidmat Luqman Hakim secara pinjaman sehingga penghujung musim 2023.

Luqman Hakim, 20, menyertai Kortrijk pada 2020 dan telah membuat dua penampilan bersama skuad senior, termasuk satu penampilan musim ini.

Pemain muda berasal dari Kelantan itu kerap diturunkan dalam skuad perlawanan skuad B-21 dan pasukan simpanan kelab itu.

Pada 2019, dia pernah tersenarai sebagai 60 pemain muda paling berpotensi oleh akhbar The Guardian dan setakat ini telah mengumpul sembilan penampilan bersama skuad senior kebangsaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here