MAJLIS Ulama Umno menggesa kerajaan dan pertubuhan kebajikan seluruh dunia segera menghulurkan bantuan kewangan dan teknikal kepada kerajaan Turkiye dan Syria bagi menangani gempa bumi yang melanda negara berkenaan hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Umno mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Turki dan Syria atas musibah besar yang berlaku akibat gempa bumi kuat yang telah mengorbankan lebih 500 nyawa rakyat kedua-dua negara berkenaan.
“Majlis Ulama menuntut kerajaan dan pertubuhan kebajikan di seluruh dunia segera menghulurkan bantuan kewangan dan teknikal kepada kerajaan Turki dan Syria bagi menangani musibah tersebut.
“Majlis Ulama juga secara khusus menyeru kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu rakyat Malaysia segera melaksanakan tanggungjawab persaudaraan Islam dan persaudaraan kemanusiaan.
“Iaitu dengan menghulurkan bantuan kemanusiaan dan sumbangan umum kepada mangsa-mangsa yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, Pas turut merakam rasa simpati dan takziah kepada mangsa yang terkorban dan tercedera serta keluarga mereka, selain anggota masyarakat di kedua dua negara sahabat itu yang terkesan oleh bencana gempa bumi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan Pas sedia menggemblengkan apa-apa jua bentuk bantuan dan sokongan kepada Turkiye dan Syria.
“Pas mendoakan agar kerja-kerja menyelamat berjalan lancar dan tidak berlakunya gempa atau bencana susulan yang boleh merumitkan keadaan.
“Dalam pada itu, Pas juga sedia menggemblengkan apa-apa jua bentuk bantuan dan sokongan yang perlu bagi membantu kerja-kerja menyelamat dan pemulihan yang sedang berjalan,” katanya. – Malaysiapost

