PENYANYI veteran, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, yang dirawat di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, sejak 9 Januari lalu meninggal dunia pada jam 9.30 malam tadi.
Berita duka itu disahkan anak bongsunya, Jose Irmanto Sudiro Soliano, 45.
Sebelum ini, Julie dilapor dimasukkan ke di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Puncak Alam, selepas paras oksigennya menurun.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu jazz dan keroncong sejak era 1960-an itu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital UiTM dan memerlukan bantuan pernafasan.
Pengurusan jenazah akan diadakan di Masjid Darul Ehsan, SS15 Subang Jaya pada jam 10.30 pagi ini. Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.
Sebelum ini, media melaporkan penyanyi legenda itu ditidurkan di hospital yang sama, akibat masalah paru-paru.
Allahyarham Julie bukan satu nama asing dalam persada seni tanah air dan dikenali dengan lagu popular berjudul, ‘Burong Nuri’ yang dirakamkan bersama Allahyarham Ahmad Mahmud dan penyanyi keroncong, Kartina Dahari.
Julie atau nama sebenarnya Raden Juariah Raden Sudiro dilahirkan pada 26 Februari 1945 di Segamat, Johor Bahru dan dibesarkan di Singapura.
Beliau dikurniakan dua anak lelaki iaitu Rindra dan Jose Irmanto, hasil perkahwinan bersama arwah suaminya, Tony Soliano yang merupakan pemuzik jazz handalan. – Malaysiapost

