Hishammuddin, Maulizan diminta kemukakan rayuan – Umno Johor

0
3

AHLI dan pimpinan Umno negeri Johor yang digantung keahlian disaran untuk merayu dan seterusnya kembali ke pangkuan parti.

Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, Umno Johor akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang selama enam tahun.

“Umno Johor menzahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi membabitkan dua pemimpin yang tidak dinafikan banyak berjasa kepada Umno Johor.

“Maka Umno Johor bersetuju supaya kedua-dua pemimpin ini wajar diberikan peluang merayu atas tindakan yang dikenakan itu,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Khas Perhubungan Umno negeri itu di bangunan Umno Johor, hari ini.

Pada 27 Januari lalu, MKT menggantung keahlian selama enam tahun Hishammuddin dan Maulizan.

MKT turut bertindak memecat lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang.

Pada masa sama, Mohamed Khaled menegaskan, tindakan disiplin dan penggantungan MKT itu tidak akan menjejaskan Umno Johor memandangkan beberapa pimpinan Umno negeri itu sebelum ini telah berdepan tindakan yang sama.

Katanya, individu yang digantung tidak boleh berputus asa kerana sekiranya usaha dilakukan seperti membuat rayuan tempoh penggantungan akan dipendekkan.

“Ini bukan kali pertama pimpinan Umno Johor digantung atau dikenakan tindakan displin. Di Johor, kita telah pun laluinya sebelum ini tetapi Umno Johor terus melaksanakan tanggungjawab dan tidak berdepan kekangan sehingga menyebabkan parti tidak dapat bergerak.

“Namun yang lebih penting, mereka yang dikenakan tindakan itu sebahagian besarnya kembali semula kepada Umno antaranya Tan Sri Shahrir Ab Samad dan Muszaidi Makmor yang kini merupakan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi.

“Kita percaya jika ada usaha dibuat, pastinya penggantungan dapat dipendekkan sebagaimana yang berlaku pada Datuk Lokman Nor Adam. Tidak boleh putus asa, kerana ia bukan penamat karier politik,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here