Panjangkan tempoh bayaran pinjaman boleh elak masalah muflis – Cuepacs

0
3

CUEPACS memohon Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) meneliti memanjangkan semula had tempoh bayaran pinjaman termasuk pembiayaan peribadi daripada 10 tahun kepada 20 tahun.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata pada 2013 BNM mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 tahun kepada 35 tahun.

Katanya, langkah tersebut mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam baharu menjadi lebih besar sekali gus mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka.

“CUEPACS berpendapat langkah BNM ketika itu memberi kesan kepada pendapatan boleh guna rakyat yang mahu melakukan pinjaman apatah lagi dengan situasi harga rumah yang meningkat begitu drastik waktu tersebut.

“CUEPACS berpandangan langkah memanjangkan semula tempoh pembiayaan wajar dilaksanakan semula ketika rakyat sedang terkesan susulan peningkatan kos sara hidup serta kesan pasca Covid-19 kerana jumlah bayaran balik pinjaman akan menjadi lebih rendah.

“Bayaran semula pinjaman yang rendah ini membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, langkah memanjangkan semula tempoh pembiayaan melegakan mereka yang mahu melakukan pinjaman kerana bayaran bulanan menjadi lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.

Ujarnya, selain itu mana-mana rakyat yang terjejas pendapatan boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang lebih mampu.

Tegas Adnan, langkah penstrukturan semula pinjaman boleh mengelakkan masalah kebankrapan atau muflis daripada berlaku.

Sementara itu, beliau berkata langkah tersebut dijangka merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna rakyat lebih bertambah serta mengurangkan tekanan hidup rakyat.

Dalam masa sama, katanya, operasi peniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM boleh kembali berkembang.

“Lebih penting adalah ia mampu memberi peluang kedua kepada rakyat yang mungkin terhimpit sehingga perlu melalui proses kebankrapan menstruktur semula kewangan mereka,” ujarnya lagi.

Menurut Adnan, langkah itu memberi situasi menang-menang kepada rakyat yang boleh menjalani hidup seperti biasa tanpa perlu melalui proses kebankrapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here