Nurul Huda Abhar
CADANGAN melaksanakan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menggunakan medium media sosial perlu diperhalusi kerana ia disifatkan kurang praktikal untuk segelintir pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Mohd Zaidi Aziz, berkata cadangan itu bukan perkara baharu kerana ia pernah dipraktikkan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.
“Namun begitu perlu diperhalusi adalah objektif kempen tersebut adakah diterima secara menyeluruh.
“Terutama untuk masyarakat luar bandar, dan warga tua. Ini kerana mereka tidak menggunakan media sosial,” katanya kepada Malaysiapost.
Beliau berkata, penggunaan medium itu lebih cenderung kepada masyarakat yang tinggal di bandar dan juga kelompok berumur 50 tahun dan kebawah.
“Pandangan untuk berkempen menerusi media sosial itu baik. Tapi perlu mengambil kira semua sudut untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
“Ia bukan benda baharu. Cuma sebelum ini kita menggunakan media sosial dan kaedah konvensional.
“Tapi kali ini ada cadangan guna medium media sosial sahaja, jadi tiada acara bertemu “face to face” bersama masyarakat,” katanya.
Baru-baru ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan PRU-15 perlu segera diadakan bagi menyelesaikan kemelut serta ‘kenakalan’ politik ketika ini.
Mohd Asri dipetik sebagai berkata, namun pemimpin politik atau calon perlu dilarang daripada mengadakan kempen secara fizikal seperti ceramah umum, ceramah kelompok, kempen rumah ke rumah dan edaran risalah berikutan pandemik Covid-19.
Katanya, kempen hanya diadakan melalui media sosial dan apabila tiba hari mengundi, rakyat menunaikan tanggungjawab tersebut dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, sebarang keputusan berkaitan perlaksanaan PRU-15 harus mengambil nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berwajib susulan penularan pandemik Covid-19.
“Paling utama kita perlu melihat sudut pandang pihak lain dalam perjalanan melaksanakan PRU. Dengan penularan wabak Covid-19, dan keadaan pemerintah sekarang perlu pertimbangan yang sewajarnya.
“Saya menerima sahaja keputusan yang diambil, cuma apa-apa perlu melihat dari sudut kebaikan rakyat terutamanya,”ujarnya. -Malaysiapost

