PN muktamad agihan kerusi Selasa ini – Ahmad Samsuri

0
3

PERIKATAN Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri dalam mesyuarat pusat Selasa ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perbincangan bersama barisan kepimpinan pusat akan diadakan di Kuala Lumpur

“Insya-Allah, dalam minggu depan kita akan berbincang di peringkat pusat.

“Ada negeri-negeri mereka sebut nak itu nak ini. Itu adalah perkara biasa. Anak-anak (pemimpin negeri) akan minta macam-macam. Mak ayah (pemimpin pusat) akan bincang dan selesaikan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022 hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN Terengganu berkata, PN menyasarkan untuk memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu sekali gus mengekalkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya yakin dapat mempertahan 22 kerusi PAS dan merampas 10 kerusi Umno berdasarkan reaksi positif rakyat serta keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Sasaran memang kita masuk pilihan raya kita masuk semua kerusi 32 DUN. Kita ingin mencapai 32 (kerusi menang). Mana ada orang masuk perlawanan nak kalah,” katanya.

Ditanya sama ada Terengganu akan mengikut Kedah yang memberi bayangan akan membubarkan DUN selepas 18 Jun, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan dipertimbang.

“Kita akan pertimbangkan apa yang disebut Menteri Besar Kedah,” katanya.

Pada PRU14 yang lalu, PAS memenangi 22 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen sekali gus mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

Pada PRU15 yang lalu, PN Terengganu berjaya menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen di negeri itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here