Usul PAU: Ahmad Maslan diminta tidak ‘dahului’, campur tangan urusan RoS

0
4

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sedang menyemak dan menyiasat aduan pelanggaran Perlembagaan Umno semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) baru-baru.

Ahli Umno Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir, berkata beliau sudah menerima surat maklum balas daripada RoS berhubung perkara itu pada 26 Januari lalu.

Justeru, beliau meminta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan agar tidak mendahului RoS dalam membuat keputusan berhubung perkara itu dan tidak campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.

“Saya menganggap kenyataan SUA Umno yang menggambarkan perkara berkenaan seolah-olah selesai adalah ‘premature’.

“Ini boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang menjaga tatakelola pertubuhan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aizat Fikri berkata, dalam perbincangan bersama pihak RoS, agensi itu memaklumkan akan mendapatkan nasihat dan panduan daripada penasihat undang-undang kementerian.

“Saya percaya RoS akan menjalankan siasatan yang eksplisit dengan memanggil perwakilan yang berada di Dewan Merdeka, termasuklah ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno bagi mendapatkan gambaran yang jelas dan adil,” katanya.

Kelmarin, Umno bertindak memberi penjelasan kepada RoS berhubung usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad dipetik berkata, beliau bersama tiga individu lain telah menemui Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad dan timbalannya, di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada jam 11.30 pagi dengan membawa dokumen yang disediakan peguam.

Menurutnya lagi, pertemuan itu dibuat susulan tindakan dua ahli Umno pada 20 Januari lalu menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here