Kerajaan, GLC dan swasta bekerjasama perkasa TVET – Anwar

0
3

KERAJAAN mengusulkan supaya strategik dilaksanakan bersama pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu dilihat berupaya menyelesaikan masalah ketidaksepadanan dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

“Jemaah Menteri, hari ini juga membincangkan soal TVET. Untuk makluman peruntukan untuk TVET ini mengikut Belanjawaan tahun lalu adalah RM6.7 bilion merangkumi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi membabitkan 500 institut kemahiran latihan awam dengan pelatih atau pelajar sekitar 250,000 orang.

“Oleh demikian saya mengusulkan supaya ada langkah segera. Kita sudah ada kajian dan jawatankuasa untuk memastikan pelajar dilatih dan mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang munasabah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, syarikat swasta atau GLC dicadangkan mengambil alih institusi TVET untuk melatih, mengurus dan menggunakan kepakaran.

“Contohnya di Pengerang boleh diambil alih oleh Petronas, DRB-Hicom di Pekan dalam bidang automobil, Sunway dan Berjaya untuk latihan perhotelan, pelancongan dan perkhidmatan umum,” katanya.

Beliau berkata, kelompok daripada syarikat konglomerat Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary juga boleh mengambil sebahagian dalam usaha itu.

Anwar berkata, Jawatankuasa Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengenal pasti langkah tambahan dan syarikat swasta yang boleh membantu institusi TVET.

“Ini satu keputusan yang besar dan kita minta tindakan diambil segera. Selainnya akan dijelaskan dalam Belanjawaan pada 24 Februari ini,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here