Banjir di Johor makin pulih

0
3
Kredit Foto JBPM Johor

BANJIR di Johor makin pulih apabila 977 mangsa masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata kesemua mangsa daripada 273 buah keluarga membabitkan tiga daerah terjejas iaitu Segamat, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

“Batu Pahat kekal daerah terjejas paling teruk dengan seramai 873 mangsa daripada 247 buah keluarga yang ditempatkan di enam buah PPS.

“Di Segamat, mangsa banjir yang tinggal hanya 63 orang daripada 20 keluarga di tiga PPS, manakala di Kota Tinggi pula, seramai 41 orang daripada enam keluarga di satu PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Kulai, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh.

“Di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan terdapat satu sungai yang menunjukkan paras air pada tahap bahaya iaitu Sungai Bekok di Batu Pahat.

“Dua lagi sungai iaitu Sungai Endau di Mersing dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada aras amaran,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: JBPM Johor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here