KEJADIAN seorang bakal pengantin yang maut ketika melakukan prosedur sedut lemak Sabtu lalu menjadi isu hangat diperdebatka di media sosial.
Sudah menjadi lumrah, kebanyakan wanita memang ‘taksub’ untuk kelihatan cantik kerana itulah pusat kecantikan dan industri kosmetik tumbuh dan berkembang dengan pesat di Malaysia.
Namun, sebenarnya proses mengeluarkan lemak dalam badan menggunakan kaedah sedutan atau ‘liposuction’ hanya boleh dilakukan oleh pakar bedah bertauliah.
Malah, pembedahan itu itu perlu dilakukan di hospital, bukannya di klinik atau pusat rawatan kecantikan.
Pengarah Kursus Aesthetic Academy Asia, Datuk Dr Morthy Subramanian, berkata pembedahan menyedut lemak adalah prosedur yang sangat berbahaya kerana ada kemungkinan pelanggan mempunyai alahan terhadap ubatan yang digunakan.
Justeru, katanya, prosedur keselamatan ketat diperlukan dalam proses itu bagi memastikan pelanggan mendapat rawatan kecemasan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini ketika proses itu.
“Ramai menyangka liposuction adalah proses yang mudah dan disebabkan itu ramai pengusaha rawatan kecantikan menawarkan perkhidmatan itu tetapi sebenarnya ia hanya boleh dilakukan oleh pakar bedah.
“Seorang pengamal perubatan am juga tidak layak untuk melakukan pembedahan itu apatah lagi individu yang mengaku mereka adalah pakar kecantikan.
“Pembedahan pula perlu dilakukan di hospital yang mempunyai kelengkapan dan ciri keselamatan yang ditetapkan kerana pelanggan perlu diberikan bius serta kemungkinan ada alahan pada ubat yang digunakan.
“Peralatan kecemasan seperti di hospital perlu ada,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas mengenai kes itu, Dr Morthy berkata, ada kemungkinan pelanggan diberikan dos ubat bius yang tinggi.
“Siasatan masih dijalankan terhadap kes itu untuk mencari punca sebenar tetapi saya berpendapat kes ini berkemungkinan seperti yang terjadi terhadap seorang wanita di Singapura tahun lalu, ketika mangsa mahu mendapatkan rawatan suntikan botox,” katanya.
Dr Morthy berkata kes itu perlu diberi perhatian tegas oleh pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan kerana hari ini terdapat terlalu ramai mendakwa pakar estetik ‘jadian’ yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah doktor dan jururawat.
“Hanya individu tertentu yang diiktiraf sebagai pakar estetik tetapi hari ini semua mahu jadi pakar sehinggakan ada jururawat dan juruteknik hospital juga menawarkan perkhidmatan ini rumah.
“Rawatan yang dijalankan meskipun nampak mudah tetapi ia sebenarnya berbahaya kepada nyawa kerana kita tidak tahu apa bentuk alahan setiap orang. Kementerian perlu memandang perkara ini dengan lebih serius,” katanya.
Sabtu lalu, seorang bakal wanita yang juga model berusia 23 tahun dilaporkan maut ketika mengadakan prosedur menyedut lemak di sebuah pusat kecantikan di Cheras, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly berkata, berkata pusat kecantikan itu berdaftar namun tidak mempunyai permit untuk menjalankan prosedur sedut lemak.
Polis menahan dua beranak berhubung kes kematian itu. -Malaysiapost

