BIARPUN tarikh pencalonan jawatan Ketua Pemuda belum dibuka, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengakui berdepan serangan pihak tertentu selepas menawarkan diri bertanding merebut jawatan berkenaan.
Namun Ahli Dewan Negara itu, tidak berminat melayan sebarang bentuk serangan peribadi sedemikian yang mahu menjatuhkan imej mana-mana pihak.
“Saya dimaklumkan sudah ada serangan terhadap saya kerana menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno. Bagi saya, ini memang resam dalam perjalanan politik, bukan mudah nak puaskan hati semua pihak.
“Saya tidak minat melakukan serangan peribadi atau jatuhkan imej mana-mana pihak sepanjang kempen. Politik kini harus lebih dinamik dan progresif ke arah politik matang.
“Tiada siapa yang sempurna dalam hidup. Cuma kita perbaiki apa juga kelemahan yang ada,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Armand Azha turut memaklumkan beberapa pemimpin muda Umno lain juga dijangka menawarkan diri bertanding merebut jawatan utama sayap Umno itu kelak.
“Ada beberapa lagi nama yang dikhabarkan menawarkan diri. Saya meraikan demokrasi parti dalam isu pemilihan parti. Saya mengambil pendekatan untuk berikan apa yang akan saya laksanakan jika akar umbi berikan amanah dan tanggungjawab.
“Saya lebih minat ceritakan hala tuju dan dasar yang akan saya laksanakan. Apa pun saya terbuka untuk terima pandangan, cadangan, kritikan dan apa saja untuk masa depan Pemuda Umno,” katanya.
Terdahulu, dalam satu video di media sosial, Ketua Umno Subang itu menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan sayap itu yang dijadual berlangsung pada 11 Mac depan.
Selain Armand Azha, beberapa nama lain dijangka bertanding merebut jawatan itu termasuk Setiausaha Pemuda Umno yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini. – Malaysiapost

