Lesap hampir RM15,000 kerana Ford Ranger Raptor

0
3

NIAT di hati ingin memiliki Ford Ranger Raptor tetapi menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai penjual kereta terpakai dari Singapura.

Mangsa, kontraktor dari Pekan, Pahang ditipu penjual yang dikenali melalui Facebook sehingga kerugian RM14,412 selepas memasukkan wang ke dalam dua akaun bank dimiliki individu berlainan.

Kejadian bermula selepas lelaki berusia 53 tahun berkenaan terlihat iklan jualan pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor yang ditawarkan dengan harga RM36,000 pada 3 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menghubungi suspek melalui nombor telefon yang tertera dalam iklan untuk memulakan urusan jual beli.

“Penjual tersebut meminta gambar kad pengenalan, lesen memandu, salinan sijil syarikat (SSM) serta penyata bank terkini bagi tujuan membuat pinjaman kenderaan.

“Suspek meminta RM2,500 sebagai deposit pembelian kenderaan. Pada 5 Oktober, mangsa membuat bayaran melalui mesin sebanyak RM6,100 ke dalam dua akaun berlainan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, mangsa turut diminta memindahkan RM5,812 sebagai bayaran cukai jalan serta RM2,500 untuk pendaftaran kenderaan secara sah di Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Sesudah semua bayaran dibuat, suspek memaklumkan kenderaan itu akan dihantar menggunakan khidmat trak tunda.

“Suspek memberi nombor telefon pemandu trak tunda. Apabila dihubungi, pemandu trak tersebut memberi banyak alasan sehingga menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu,” katanya.

Katanya, mangsa membuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Malaysiapost