
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil tindakan pemulihan interim susulan gangguan capaian beberapa sistem aplikasi utama kementerian itu yang dikesan sejak 15 Januari lalu.
Dalam satu kenyataan, KPM memaklumkan terdapat gangguan capian membabitkan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) yang merupakan sistem Daftar Diri Tunggal (SSO) bagi setiap aplikasi KPM.
Menurutnya, gangguan itu disebabkan trafik capaian yang tinggi daripada pengguna sistem iaitu guru yang sedang melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian.
“KPM telah mengambil tindakan pemulihan interim pada pangkalan data serta sistem aplikasi terlibat dan telah dapat mengatasi salah satu isu yang dikenalpasti iaitu konflik capaian antara idME dan modul aplikasi MOEIS pada 16 Januari lalu.
“Namun begitu, gangguan capaian kepada sistem dikesan berlaku semula secara tenggelam timbul (intermittent) pada 19 Januari lalu,” katanya.
KPM memaklumkan, tindakan penambahbaikan pada peringkat rangka kerja pangkalan data dan pengaturcaraan aplikasi telah dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan capaian.
Menurutnya, sehingga hari ini prestasi capaian semakin baik namun masih belum pulih sepenuhnya dan pemantauan diteruskan secara rapat bagi memastikan isu gangguan capaian dapat diatasi secara menyeluruh.
“Para guru juga mempunyai tempoh sehingga 10 Mac ini untuk melaksanakan aktiviti perekodan dan pelaporan PBD sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kerja PBD Akhir Sesi Akedemik 2022/2023.
“KPM memahami kesulitan dihadapi guru dan memohon maaf atas masalah tersebut serta akan memastikan supaya prestasi capaian aplikasi KPM adalah ditahap cemerlang,” katanya. – Malaysiapost
