Remaja dikhuatiri lemas masih belum ditemui

0
3

REMAJA lelaki berusia 18 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di Kampung Parit Haji Anuar, Muar semalam masih belum ditemui.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan operasi mencari mangsa yang disambung hari ini masih gagal menemuinya setakat petang tadi.

Menurutnya, operasi mencari remaja terbabit bermula jam 10 malam selepas menerima maklumat mengenai kejadian semalam tidak berjaya menemui mangsa dan ditangguhkan pada jam 3 pagi tadi,

“Operasi kemudian disambung semula dengan pencarian di permukaan air menggunakan satu bot fiber Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan dua bot nelayan.

“Pencarian turut dibantu Unit Dron Johor yang dikendalikan sendiri oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar,” katanya.

Menurutnya, Unit Anjing Pengesan (K9) juga turut serta menghadiri dalam operasi pencarian pada jam 4.40 petang tadi.

Katanya, terdahulu Bilik Kawalan BBP Muar menerima panggilan kecemasan orang lemas pada jam 3.42 petang semalam yang beralamat di Jalan Parit Haji Anuar Kampung Parit Haji Anuar.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa lemas ketika melakukan aktiviti mandi di sungai bersama dua lagi rakan mangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here