Pas sedia serah kerusi DUN kepada Bersatu – Ahmad Samsuri

0
3

PAS bersedia mengagihkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ketika ini perbincangan pengagihan kerusi secara tidak rasmi sedang diadakan dengan pimpinan Bersatu.

“Berdasarkan pengalaman ketika perbincangan pengagihan kerusi dengan pimpinan Pas dan Perikatan Nasional (PN) ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, kita tidak menghadapi sebarang kesukaran dan mampu menyelesaikan walaupun parti itu hanya diberi satu kerusi Parlimen untuk bertanding,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Teknologi dan The Future Of Growth 2.0, di Kuala Terengganu, hari ini.

Pada PRU-15 yang lalu, Bersatu hanya bertanding di Parlimen Hulu Terengganu yang menyaksikan Datuk Rosol Wahid, yang juga penyandang kerusi berkenaan berjaya mempertahankannya.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, jumlah kerusi dan DUN yang akan diserahkan kepada Bersatu belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, agihan kerusi kepada Gerakan yang juga komponen PN juga masih dalam perbincangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here