Zahid mohon mahkamah kembalikan pasport miliknya secara kekal

0
3

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memohon Mahkamah Tinggi mengembalikan pasport antarabangsa miliknya secara kekal secepat mungkin.

Menurutnya, ia bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.

Presiden Umno itu menjelaskan, beliau membuat permohonan dengan niat baik (bona fide) yang hanya bertujuan memohon kebenaran bagi pelepasan pasport antarabangsa supaya dapat menjalankan tugas rasmi, lapor Berita Harian.

Pasport itu sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.

Dalam afidavit sokongan menerusi permohonannya, untuk mengetepikan syarat jaminan jaminan tambahan difailkan 20 Januari lalu, Ahmad Zahid berkata, beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada dokumen tersebut.

Jelaanya, beliau menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mewakilkan beliau (Anwar) dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

Ahmad Zahid berkata, bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi selaku Timbalan Perdana Menteri, beliau dikehendaki untuk berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport itu berada dalam pegangan sendiri.

Katanya lagi, beliau memerlukan dokumen itu kerana ia salah satu syarat dalam proses permohonan bagi mendapatkan pasport diplomatik yang diperlukan dan akan digunakan bagi pergerakan rasmi keluar-masuk negara.

“Saya menyatakan bahawa permohonan ini sama sekali tidak bersifat niat jahat atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana saya mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam penyelesaian kes sehingga ke peringkat akhir pembelaan saya.

“Saya juga menyatakan bahawa permohonan ini sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah untuk membenarkan saya ke luar negara bagi tujuan rasmi.

“Saya turut mengaku janji bahawa akan patuh kepada semua syarat yang ditetapkan mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri kesemua tarikh perbicaraan yang sudah ditetapkan,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, beliau tiada niat untuk melarikan diri dan tidak hadir dalam prosiding kes mahkamah kerana masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan aktif dalam bidang politik serta kesemua ahli keluarganya berada di negara ini.

Sehubungan itu beliau berkata, adalah wajar bagi mahkamah menimbangkan bahawa kelulusan permohonannya bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara yang menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kes itu yang kini berada di peringkat bela diri yang dijadualkan bersambung pada 10 April ini di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here