PRU15 paling korup, hampir semua calon menang kerana rasuah – Tun M

0
3

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah yang paling korup dengan hampir semua calon menang kerana menawarkan rasuah.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu mendakwa sogokan dilakukan secara terbuka dan parti calon membelanjakan wang yang banyak untuk berkempen.

“Terdapat sedikit atau tiada percubaan untuk disembunyikan kerana wang itu diberikan dan arahan mengenai simbol yang perlu dipangkah dalam slip mengundi.

“Pencegah rasuah dan polis pasti melihat perbuatan rasuah itu, tetapi sehingga kini tiada sesiapa yang telah ditangkap atau didakwa.

“Merasuah pengundi sudah menjadi kebiasaan. Pengundi mengharapkannya, wakil parti menganggapnya sebagai tugas mereka dan mereka yang melihat rasuah itu merasakan apa yang berlaku adalah sebahagian daripada proses pemilihan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau mendakwa seorang calon membelanjakan sebanyak RM25 juta dan setiap parti telah membelanjakan RM100 juta ketika PRU15.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa supaya had dikenakan terhadap perbelanjaan calon dan parti ketika pilihan raya bagi mengekang amalan rasuah.

Apa yang berlaku kini, katanya, rasuah dan wang yang dibelanjakan untuk berkempen tidak terhad.

Untuk rekod, parti yang diwakili Mahathir iaitu GTA dan Pejuang kalah teruk pada PRU15 tanpa seorang calon menang dalam pilihan raya yang diadakan pada November tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here