BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkongsi perkhabaran sedih kehilangan bayi dalam kandungannya, baru-baru ini.
Nurul Izzah yang merupakan puteri sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi berita duka tersebut menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dalam hantaran itu, Nurul Izzah yang mesra dengan jolokan Puteri Reformasi turut memuat naik gambar memeluk ibu tersayang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bapanya.
“Sejak 19 November 2022, mungkin inilah kali pertama kami berpelukan. Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama. Selesai berkempen, sempat pula menjangkiti Covid-19 buat kali kedua, mendapat berita kami mengandung anak keempat.
“Kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baharu, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang kemudian ke Putrajaya. Dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung. The little boot is gone,” katanya dalam hantaran itu.
Beliau juga memaklumkan reda dengan keadaan tersebut selain terfikir tentang wanita-wanita yang melalui episod serta pengalaman sama, walau jalur individunya berbeza.
“Ungkapan mensyukuri nikmat, kata-kata indah untuk Yang Maha Esa, yang kita ucapkan walau mengalir air mata kerana kita hanyalah insan kerdil. Insan yang lemah dengan perasaan, hati, memori dan pengalaman.
“Jadi kepada anda, hampir semua daripada kita mengalami kehilangan rasa, kita boleh menawarkan doa, pelukan maya dan ingatan bahawa kehidupan ini diteruskan.
“Keindahan kegembiraan dan kebahagiaan ini, mengintai setiap sudut sama ada senyuman Safiyah, Harith dan Yu Zhou. Atau dalam pelukan papa dan mama, setiap saat itu dikira. Selamat pulang dalam setiap kehangatan yang anda alami,” tulisnya.
Pada Ogos tahun lalu, Nurul Izzah kembali sah bergelar isteri apabila selamat diijabkabulkan dengan seorang lelaki bernama Yin Shao Loong.
Shao Loong merupakan penyelidik Khazanah Research Institute dan pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif badan permikir PKR, Institut Rakyat yang diketuai Nurul Izzah.
Sebelum ini Nurul Izzah pernah mendirikan rumah tangga dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada 2002 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. – Malaysiapost

